Thursday, 12 December 2013

Deligasi UMS ke Korea Selatan pada 17 - 23 Disember 2012





Pastinya, satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak ternilai apabila Program Lawatan Delegasi Pelajar Pascasiswazah Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke negara Korea Selatan berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Apa yang pasti kejayaan program ini tidak akan bergolek datang dengan sendiri tanpa bayaran harga sumbangan dan cetusan idea di luar kotak kebiasaan, pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga khususnya daripada penasihat program Prof Dr. Sabariah Mohd Sharif dengan dibarisi oleh para pelajar pasca yang sangat komited dan bercita-cita besar untuk memastikan program dirancang ini dapat direalisasikan.


Alhamdulillah, seperti mana perancangan asal, akhirnya delegasi ini dengan penuh iltizam dan semangat pasukan telah berjaya mengumpulkan para peserta, bukan sahaja dalam kalangan pelajar Sarjana dan Ph.D cawangan Kota Kinabalu dan Tawau, dan pensyarah UMS sendiri, malah telah menarik minat dan disertai oleh ahli alumni UMS serta kakitangan ibu pejabat Kementerian Pelajaran Malaysia di Kuala Lumpur. Delegasi seramai 24 orang ini telah bertolak daripada Kota Kinabalu pada 17 Disember 2012 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 18 Disember 2012, kira-kira pada jam 7.35 pagi waktu tempatan. Perbezaan waktu Malaysia dan Korea lebih kurang satu jam.


Kehadiran rombongan telah disambut oleh salah seorang pemandu pelancong yang bertanggungjawab untuk mengetuai rombongan kami melawat tempat-tempat yang bakal dilawati. Apa yang menarik dan sangat mengkagumkan saya kesemua pemadu pelancong ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia sendiri yang sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti terkemuka di negara membangun pesat itu. Terdetik dalam hati saya dengan rasa kagum, kesungguhan dan kegigihan mereka untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu di samping perjuangan meneruskan survival demi mencapai cita-cita mereka sendiri, dan pastinya impian keluarga, bangsa dan negara yang menagih sumbangan bermakna daripada mereka.


Pada saya, mereka bukan setakat bergelar pelajar semata-mata, malah merekalah duta-duta kecil yang bakal mempromosikan dan memperagakan keunikan dan kelebihan negara mereka. Saya cukup yakin, apa-apa sahaja tindak tanduk dan peranan mereka di luar negara sedikit sebanyak adalah sebahagian cerminan atau gambaran secara tidak langsung daripada sumber sistem dan corak pendidikan yang telah diterapkan dalam diri mereka sebelum ini. Kebolehan untuk menyesuaikan dan mengadaptasi dengan suasana persekitaran baharu, perbezaan ketara dari segi bahasa, sistem sosial yang berbeza, menangani fahaman dan amalan agama yang ketara berbeza perlu menjadi ramuan penting untuk memastikan keselarian  survival dalam proses asimilasi dan simulasi dengan suasana persekitaran. Bak kata pepatah bijak pandai “jadilah seperti mana seekor ikan yang tingal berenang di lautan, walau betahun lamanya, namun tidak sedikit pun menjadikan isi dan badannya masin seperti mana masinnya air laut”

                                            Peserta Deligasi UMS ke Korea Selatan
 
Penulis amat teruja berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri suasana di negara yang terkenal dengan empat musim dalam setahun ini. Dalam lawatan ini, penulis sangat bertuah kerana suasana di Korea pada masa tersebut sedang mengalami musim sejuk atau musim winter. Cuaca yang teramat sejuk sehingga mencecah kepada -12 darjah Celsius menyebabkan penulis dan rakan-rakan kadang-kadang tidak selesa. Namun, kegembiraan terpancar dalam wajah setiap peserta rombongan apabila selepas beberapa hari menunggu saat yang dinanti-nantikan, akhirnya hujan salji menyelubungi dan membasahi seluruh pelusuk negara Korea. Penulis sendiri merasa sangat teruja apabila dapat menikmati suasana hujan salji. Memang agak sukar untuk mengambarkan hanya dengan kata-kata, dan pastinya saat ini adalah antara pengalaman dan peristiwa yang paling manis dalam hidup dan tidak mungkin dapat dilupakan.

Sepanjang lawatan, penulis berpeluang untuk melawat beberapa tempat menarik seperti Pulau Nami, (Nami Island), Pasar Tamu Myeondong, Pasar Dongdaemon, Pasar Nandaemon, pusat reakreasi Everland, Itewon Centeral Mosque. Beberapa tempat lawatan sambil belajar yang sangat penting dalam program ini antarannya ialah berpeluang melawat Universiti Korea dan Pusat Perkhidmatan Maklumat dan Penyelidikan Antarabangsa Pendidikan Korea (KERIS).


Pada pengamatan penulis, memang tidak dapat dinafikan wujudnya perbezaan ketara dalam pelbagai aspek antara negara Malaysia dan Korea, misalnya dari segi pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, budaya kerja, sistem komunikasi dan sosial, kematangan politik, amalan pemakanan dan kesihatan, semangat patriotik, kebersihan bandar dan kos hidup. InsyaAllah, mungkin pengalaman-pengalaman ini boleh dijadikan asas dan input penting sekiranya penulis berpeluang menghasilkan buku atau coretan pengalaman yang boleh dikongsikan kepada generasi-generasi muda yang tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke bumi Korea Selatan.


Sebagai rangka awal, penulis akan cuba berkongsi beberapa catatan pengalaman yang sempat dicatatkan dan terimbas semasa menulis refleksi ini.



Hari pertama (18 Disember 2012)


Rombongan tiba di incheon international Aiport. Rombongan disambut oleh agensi pelancongan yang terdiri daripada pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Korea Selatan. Pengalaman mengalami sendiri cuaca yang agak sejuk. Suhu cuaca semasa ketibaan kira-kira dalam -3°C.

Rombongan menaiki bas pelancong menuju ke Naminara Republic atau lebih dikenali sebagai Nami Islad. Pada asalnya saya tidak menyedari keistimewaan pulau ini. Sangkaan saya, pulau ini seperti pulau-pulau biasa yang lain. Apabila sampai di pulau yang ditujui maka fahamlah saya mengapa pulau ini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Dari maklumat yang sempat saya baca di salah satu galeri di pulau ini, saya dapati bahawa pulau ini merupakan salah satu tapak warisan yang diiktiraf oleh pertubuhan antarabangsan UNESCO dan telah mula dikenali sejak 100 tahun yang lalu.

Tokoh hebat Kang Woo-Hyun merupakan Chef Executive Officer (CEO) Nami Island, antara pengasas yang banyak menyumbangkan idea demi memajukan dan meningkatkan lagi martabat pulau ini di mata dunia. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa pulau ini merupakan lokasi pengambaran drama bersiri Winter Sonata yang sangat popular dan menjadi drama kegemaran di Malaysia pada satu ketika dahulu. 

 
Antara kesitimewaan pulau ini ialah suasana pemandangan yang sangat cantik, keseluruhan persekitaran pulau yang diliputi ais semasa musim sejuk, bahan-bahan pameran yang unik dan bersejarah, serta kemudahan yang cukup lengkap kepada setiap pelancong yang melawat pulau ini. Penulis sempat melaksanakan solat jama qasar di surau yang disediakan di pulau ini dan menikamati nasi goncang korea yang sangat unik dari segi penyediaan dan rasa makanan ini.

                              
Pemandangan di sekitr Nami Island

Tiga jam masa yang diperuntukkan kepada rombongan untuk melawat seluruh kawasan pulau ini dirasakan begitu sangat cepat berlalu menyebabkan ramai juga rakan-rakan yang mengeluh dan tidak puas untuk menikmati suasana mengasyikkan di sekitar pulau ini. Namun, apakan daya, jarak dan masa untuk sampai ke tempat penginapan yang menepatkan rombongan adalah kira-kira satu setengah jam dari Nami Island menyebabkan rombongan perlu bergerak cepat.


Rombongan sampai ke tempat penginapan, Innes Inn Homestay kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan. Lokasi penginapan berada di atas bukit, di tengah-tengah Bandar Iteawon. Cuaca agak sejuk di sebelah petang menyebabkan saya mengalami sedikit kejutan dan sangat tidak selesa.



Hari Kedua (19 Disember 2012)


Rombongan dibawa ke pusat taman tema Everland. Suatu tempat yang sangat luas, indah, bersih dan dilengkapi taman-taman tema yang sangat pelbagai dan menarik serta menyeronokkan. Rombongan tiba di taman tema Everland seawal jam 10.00 pagi. Menjelang tengahari dan petang, pengunjung semakin ramai dan bersesak-sesak memasuki taman tema. Penulis tidak melepaskan peluang untuk menikmati keseronokan bersama rakan-rakan semasa berada di taman tema ini. Satu perkara yang tidak sempat dilakukan oleh penulis ialah bermain luncur di permukaan ais, memang amat-amat rugi kerana peluang sebegini mungkin tidak akan berulang apabila meninggalkan negara Korea Selatan. 

                                Menikmati keindahan di Taman Tema Eveland, Korea Selatan


Rombongan berkumpul di tempat yang dijanjikan tepat jam 4 petang. Penulis agak panik seketika apabila terlepas daripada pergerakan rombongan besar disebabkan terpakasa berada di ruangan tandas untuk memanaskan badan. Cuaca pada hari tersebut sangat sejuk. Salah seorang pelancong daripada negara jiran iaitu Singapura menyatakan bahawa cuaca pada hari tersebut telah mencecah kepada -12°C. Rombongan sampai di tempat penginapan kira-kira jam 5.30 petang.



Hari ketiga (20 Disember 2012)


Hari ketiga merupakan antara hari terpenting dalam program lawatan ini. Rombongan telah dibawa ke Pusat Perkhidmatan Penyelidikan Antarabangsa Korea (KERIS). Pusat ini merupakan antara pusat penyelidikan dalam bidang ICT yang menyokong kepada sistem pembangunan pendidikan di negara Korea. Dapatan daripada taklimat yang disampaikan oleh penceramah, penulis sangat kagum dengan pencapaian dan kemajuan yang dicapai oleh institusi penyelidikan teknologi pendidikan. Pada dasarnya, konsep atau pendekatan yang dipraktikan di negara korea khususnya dalam teknologi pendidkan telah diperkenalkan dan dilaksanakan di negara Malaysia. Misalnya, menurut Prof Madya Dr. Sabariah Mohd Sharif, ada menyatakan bahawa konsep Smart School (sekolah bestari) merupakan satu konsep atau pendekatan yang telah diperkenalkan oleh negara Malaysia. Korea merupakan antara negara yang telah melaksanakan konsep ini dengan mengabungjalinkan pendidikan dengan penguasaan kepakaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi untuk tujuan pembangunan sistem pendidikan berteraskan teknologi maklumat di negara korea selatan. Sebaliknya, Malaysia walaupun hakikatnya salah satu perintis kepada konsep sekolah bistari namun dilihat dari segi impaknya agak kurang memberangsankan dan kurang menggalakkan berbanding pelaksanaan di negara Korea Selatan.


Penulis juga berpeluang melawat contoh kelas masa hadapan yang ingin dibangunkan dan cuba diaplikasian ke dalam sistem persekolahan dan pembelajaran di negara tersebut pada masa akan datang. Kelas ini dikenali sebagai Future Class (U-Class) di mana kelebihan dan keistimewaan yang ditonjolkan oleh kelas ini antaranya ialah dilengkapi oleh peralatan ICT canggih dan terkini, ruang warna kelas yang lebih harmoni, penyampaian pengajaran beroreintasikan ICT sepenuhnya dan mempraktikan konsep paperless dengan cuba membudayakan konsep Digital Native dalam kalangan murid-murid di sekolah. Rombongan sampai di tempat penginapan kira-kira jam 5.30 petang.


Gambaran suasana di dalam U-Class




Hari keempat (21 Disember 2012)


Rombongan telah berpeluang melawat dan melihat sendiri keindahan Universiti Korea yang tersergam indah. Struktur dan corak binaan bangunan university sangat menarik perhatian para peserta lawatan. Suasana salji yang rancak turun menambahkan lagi keterujaan penulis dan rakan-rakan dalam rombongan menikmati keindahan persekitaran kawasan universiti sambil mengikuti sedikit taklimat ringkas daripada Dr. Folter, wakil pengurusan pentadbiran Universiti Korea. Melalui duta pelajar universiti, Mr. Park Jeung, rombongan telah diperkenalkan sedikit sebanyak tentang sejarah penubuhan, modal pembinaan serta beberapa kelebihan yang dimiliki oleh universiti ini. Penulis sendiri cukup kagum dengan kecanggihan kemudahan dan kebersihan serta keceriaan universiti ini.



 
                             Kenagan bersama Dr. Folter dan rakan-rakan di Universiti Korea

Rombongan tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenangan di sekitar universiti yang tersergam indah itu. Sekali-sekala penulis tersenyum sendirian melihat tingkah laku rakan-rakan lain agak melucukan terutamanya ketika melakukan aksi semasa bergambar.


                                  Gambar kenangan di sekitar keindahan Universiti Korea 


Pada sebelah petang sekitar jam 3.00 petang, rombongan diberi peluang untuk melawat beberapa tempat-tempat menarik di sekitar bandar Seoul. Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu kota ini salah satu bandar raya utama di dunia yang menawarkan banyak kenimakatan dan keseronokan bagi mereka yang gemar melancong di luar negara.



Hari Kelima (22 Disember 2012)

Rombongan dibawa melawat ke pasar-pasar yang terkenal di negara Korea. Gambaran keadaan di pasar-pasar tamu hampir sama dengan pasar-pasar di Malaysia. Daripada hasil tinjauan, penulis mendapati harga barang dan perkhidmatan di sini agak mahal berbanding di Malaysia. Harga makanan halal yang ditawarkan agak mahal berbanding makanan-makanan lain. Ini mungkin disebabkan kurangnya penawaran untuk makanan halal dan kos mendapatkan bahan-bahan mentah halal dari negara-negara pengeluar tertentu. Semasa memasuki pusat-pusat pembelian cendera kenagan, penulis sendiri tidak melepaskan peluang untuk membeli buah tangan sebagai cendera kenangan kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia.                                                                                                     

                                Suasana di pasar yang terletak di Dongdaemun, Korea Selatan


Hari Keenam (23 Disember 2012 )


Bertolak dari penginapan ke Incheon International Aiport untuk pulang ke Malaysia seawal jam 5. 30 pagi. Menjejakkan kaki ke bumi Malaysia kira-kira jam 4.30 petang iaitu di lapangan antarabangsa KLIA dan tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 10.30 malam.




Pautan video dan gambar lain :- 



 
Disediakan oleh:

Sabddin Hussin Bin Alipin
Sarjana Pengurusan Pendidikan (MEdM)

Penulis merupakan salah seorang peserta deligasi pelajar UMS ke Korea Selatan, semasa dalam pengajian di universiti tersebut pada tahun 2011 sehingga 2013.
 

No comments:

Post a Comment