Friday, 27 December 2013
Tahun 2014, Tahun Lebih Mencabar
Tahun hadapan 2014 pastinya membawa cabaran lebih berat bagi kerajaan sedia ada khususnya dan rakyat amnya. Selepas berjaya mengharungi PRU 13 dengan penuh cabaran dan dramatik, kegembiraan dan keselesaan nampaknya belum begitu terjamain. Apa yang pasti, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bersedia dengan rintangan yang mendatang termasuklah mengekalkan kelangsungan politik, ekonomi, keharmonian antara agama dan mengekalkan hubungan sosial antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.
Semasa berkempen menjelang Pilihan Raya 2013 lalu, Barisan Nasional melalui “Manifesto: Menepati Janji, Membawa Harapan” memberikan pelbagai harapan dan jaminan seperti mengurangkan kos sara hidup.
Di antaranya adalah penurunan harga kereta secara berperingkat, menyediakan sejuta rumah mampu milik, pendidikan lebih baik, pembangunan luar bandar secara agresif dan keselamatan awam.
Kita benar-benar berharap agar janji-janji ini merupakan satu manifesto dalam usaha membawa negara ini bukan sahaja membangun dengan pesat bahkan kerajaan dapat mengutamakan kebajikan rakyat dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini.
Bermula September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.
Perlu diingat, kenaikan harga minyak dan gula mempunyai kesan berantai kepada barangan lain. Dalam erti kata lain, janji kerajaan harga barang lain tidak akan naik selepas subsidi minyak dan gula dipotong perlu diperhalusi dan dikaji semula.
Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.
Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015. Ertinya kehadiran 2015 belum dapat dibayangkan kegembiraan akan dikecapi oleh majoriti rakyat Malaysia dengan pengenalan GST.
Tidak dapat dinafikan, tindakan memotong subsidi dan menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas menarik perhatian banyak pihak termasuklah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.
“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det semalam.
Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai ketirisan dan pembaziran kerajaan.
“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” katanya.
Sebagai orang yang sudah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan mengikuti perkembangan sejarah negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, Dr Mahathir sudah tentunya bimbang dengan tindakan pentadbiran Najib.
Dr Mahathir menyaksikan bagaimana rakan-rakan baiknya seperti Ferdinand Marcos dari Filipina dan Jeneral Muhammad Soeharto dari Indonesia digulingkan melalui demonstrasi jalanan selepas gagal mensejahterakan hidup rakyat.
Maka tidak hairanlah mungkin ada kebenaran Putrajaya dilihat begitu takut sekali dengan perhimpunan pada malam ambang Tahun Baru 2014 yang dikatakan berniat untuk menggulingkan kerajaan.
Semalam polis menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan dikatakan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini. Difahamkan pemilik akaun facebook ini seorang penganggur dari negeri Sabah. Keadaan ini amat jelas memberi satu petunjuk kepada kita bahawa rakyat sebenarnya begitu tertekan dalam menghadapi suasana yang kurang memberi jaminan dalam rakyat meneruskan kelangsungan hidup yang lebih selesa dan gembira.
Sebelum itu polis menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar selepas seorang pengguna Facebook memberikan komen mengatakan akan berlaku rusuhan pada malam ambang Tahun Baru. Putrajaya kelihatan begitu takut sekali dengan kemarahan orang ramai di atas tindakan mereka itu.
Yang hairannya, yang ditahan adalah orang yang marah kerana janji dimungkiri dan bukan yang memungkiri janji. Apabila menteri-menteri diminta untuk mengulas situasi ini, pelbagai reaksi dan alasan yang sama dan bersifat emosi, menafikan fakta yang sebenar, kadangkala membuatkan rakyat berasa muak dan kecewa. Inilah yang menyebabkan sebilangan rakyat merasa tidak puas hati sehingga nekad untuk bangun membantah dan membuat rusuhan.
Semoga kehadiran tahun 2014, akan memberi bayang kebahagian kepada Malaysia untuk terus maju dan dapat memberi jaminan keselamatan, kehidupan yang lebih sempurna dan jaminan kepada anak dan generasi masa depan.
Sumber: http://my.news.yahoo.com/selepas-mungkir-janji-putrajaya-takut-digulingkan-010044881.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment